Berita

SCaT Fair 2014 Mendapat Sambutan Menggalakkan
Tarikh : 17 Mar 2014  Sumber Berita: The Borneo Post online
 

 

PENGHARGAAN: Dr Hazland sambil diperhatikan tetamu jemputan menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta pameran SCaT Fair 2014 di Kuching, semalam.

 

KUCHING: Pameran Latihan dan Kerjaya Teknikal 2014 (SCaT Fair 2014) yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lalu, mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat khasnya belia.

 

Diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), karnival yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu menarik kira-kira 35,000 pengunjung dan ia telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, karnival itu merupakan anjuran Unit Pembangunan Tenaga Kerja, Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) dan Yayasan Sarawak.

 

“Karnival dua hari ini mempamerkan 220 pameran terdiri daripada institusi latihan kemahiran, syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan, agensi yang menyediakan bantuan atau pinjaman pendidikan dan agensi kerajaan berkaitan dengan pembangunan belia, keusahawanan dan kebolehpasaran graduan yang sedang mencari pekerjaan.

 

“Malah, SCaT Fair yang dianjurkan setiap tahun (bermula 2011) merupakan landasan dan pemberi maklumat berguna kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat keputusan tentang hala tuju pendidikan dan kerjaya mereka pada masa depan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan program ‘AZAM Youth Leadership Bootcamp’ dan SCaT Fair 2014 di sini, semalam.

 

Dr Hazland yang juga ahli Lembaga TEGAS menambah, pelbagai industri dan agensi dijemput mengambil bahagian bagi memenuhi keperluan pengunjung khasnya belia yang datang pada karnival itu.

 

Selain itu, jelasnya SCaT Fair merupakan usaha kerajaan mempromosi pendidikan teknikal bagi menampung modal insan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

 

Dalam perkembangan lain, Dr Hazland memberitahu bahawa TEGAS pada masa ini telah memberi biasiswa kepada lebih 10 pelajar di negeri ini bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang teknikal dan perubatan.

 

Hadir sama Pengarah Unit Pembangunan Tenaga Kerja Dr Abdul Rahman Deen, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia AZAM Mohd Ariff Azahari dan Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Awangku Merali Pengiran Mohamad.