Berita

Minimum satu projek KFA tahun depan
Tarikh : 29 Dec 2012  Sumber Berita: The Borneo Post
 

TERTARIK: Misnu (kiri) bertanya tentang spesies dabai jenis laja yang dikenal pasti berkualiti tinggi di Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok semalam.

 

Organisasi awam perlu mengalami penambahbaikan terutama dari segi perkhidmatan

KUCHING: Kerajaan negeri mewajibkan organisasi penjawat awam untuk melaksanakan minimum satu projek inisiatif di bawah Aktiviti Fokus Utama (KFA) bagi tahun depan.

Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha mengakui, organisasi yang terlibat dengan projek KFA mengalami penambahbaikan terutama dari segi penyediaan perkhidmatan.

“Sebagai pengerusi pemerhati, pihak kami telah menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan melalui penelitian itu, ia amat memuaskan.

“Ini merupakan trend sekarang (iaitu) bagaimana untuk menambah baik kerja dan perkhidmatan. Kita amat menggalakkan mereka berbuat demikian. Jika ia lebih banyak, lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Lawatan Kerja KFA di Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok dekat sini, semalam.

Misnu berkata, KFA tahun ini dianugerahkan kepada Kementerian Kemudahan Awam dan Tenaga Sarawak Berhad (SEB) kerana berjaya menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM70 juta.

Bagaimanapun, tambah beliau, jika terdapat organisasi awam yang berada di bawah garis ketetapan KFA, maka pihaknya akan memudah cara organisasi awam berkenaan.

“Tetapi setakat ini, pihak kami tidak mendapati sebarang masalah dan semuanya dalam keadaan baik,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyuarakan rasa puas hati dengan kejayaan 155 projek yang telah dijayakan tahun ini berbanding 115 tahun lalu.

Semasa kunjungan itu, Misnu meluangkan masa melawat pameran produk dan kegunaan dabai.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian Datu Dr Ngenang Jangu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Lai Kui Fong dan wakil Pihak Berkuasa Veterinar Negeri Sarawak Dr Humrawali Khan.