Polls
Announcements

Berita

Banyak kebaikan projek hidroelektrik tidak diketahui: Adenan
Tarikh : 08 Apr 2014  Sumber Berita: The Borneo Post
 

MIRI: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem semalam mendedahkan bahawa kelemahan dalam menyalurkan maklumat mengenai pembinaan projek empangan hidroelektrik di negeri telah memudahkan isu itu diputar belit oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

Beliau berkata banyak maklumat mengenai kebaikan hidroelektrik tidak diketahui penduduk tempatan.

 

Adenan memberitahu situasi itulah yang menyebabkan NGO mengambil kesempatan meracuni penduduk negeri ini, khususnya di luar bandar, supaya menentang dan memulaukan setiap pembinaan projek hidro elektrik yang dicadang dan baharu dibina.

 

“Penduduk tempatan sebenarnya tidak menolak pembinaan projek hidroelektrik yang baharu.

 

“Mereka tidak faham manfaatnya, termasuk feadah yang diperolehi secara langsung dan sebaliknya,” katanya ketika merasmikan Permukiman Pasukan Berprestasi Tinggi (HPT) 2014 di sini, semalam.

 

Adenan berkatasebaliknya jika penduduk tempatan diberi maklumat yang jelas mengenai projek hidro sama ada yang sudah dilaksanakan atau sebaliknya, sudah pasti mereka tidak akan menentang projek itu.

 

Justeru, beliau mahu setiap kakitangan awam yang ditugaskan untuk memberi penerangan menggandakan usaha berkenaan.

 

Mengenai HPT 2014, beliau berkata, ia adalah sebagai usaha memantapkan peranan per-khidmatan awam di seluruh negeri ini.

 

Adenan berkata sejak diperkenalkan, HPT 2014 memberi tumpuan kepada isu berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

 

“Ia berfungsi sebagai landasan bagi membolehkan ketua jabatan membincangkan isu kritikal bagi menghasilkan pendekatan baharu dan idea yang lebih segar untuk meningkatkan produktiviti sektor awam,” katanya.

 

Lebih 100 pegawai per-khidmatan awam di seluruh Sarawak menyertai HPT 2014 yang turut menyediakan sesi dialog bersama Ketua Men-teri baharu itu.

 

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata HPT akan membincangkan dua perkara baharu utama iaitu mengenai ‘Pentadbiran Cemerlang Sarawak’ dan ‘Perkhidmatan Perundangan’.

 

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga turut melancarkan Portal Fakta dan Angka Sarawak yang menyediakan perkara yang tepat dan kemas kini mengenai ekonomi, pembangunan sosial dan pengurusan alam sekitar Sarawak.

 

Sebagai tambahan katanya, HPT tahun ini bertujuan merangka strategi antara kerajaan negeri dan persekutuan di Sarawak bagi meningkatkan produktiviti.