Polls
Announcements

Berita

Perubahan, Inovasi Perlu Untuk Bangun Sumber Manusia: Jabu
Tarikh : 10 Jul 2010  Sumber Berita: The Borneo Post
 

KUCHING: Perubahan, inovasi dan tindakan sewajarnya dari segi modal insan bukan lagi satu keistimewaan tetapi keperluan untuk kelangsungan dan kerelevanan pembangunan sumber manusia (HRD).

 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata perkara tersebut adalah penting disebabkan kaitan positifnya kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial di negeri ini.

 

Beliau yang mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam majlis makan malam sempena Asia HRD Congress Awards malam kelmarin, memberitahu panganjuran persidangan dan pemeran Asia HRD Congress dari 6 hingga 8 Julai lepas amat bersesuaian pada masanya.

 

“HRD Congress 2010 yang diadakan di sini baru-baru ini amat tepat pada waktunya sebagai langkah untuk membangun dan menambah modal insan di negeri ini yang juga sebagai persiapan kepada pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) khususnya,” katanya berucap dalam majlis tersebut.

 

Beliau juga memberitahu bahawa mengubah modal insan sedia ada kepada yang lebih produktif memerlukan kepimpinan yang cekap dan prihatin.

 

“Teknologi bukan sesuatu yang ditambah tetapi sudah menjadi kepentingan dan keperluan kepada pekerja kerana teknologi seperti Blog, Tweeter dan perkhidmatan atas talian yang lain memudahkan kerja dan kehidupan,” katanya.

 

Jabu juga memberitahu, sejak 40 tahun lepas, banyak infrastruktur dibina untuk kemudahan penduduk negeri ini dengan keutamaan diberikan daripada aspek pendidikan, kesihatan, perumahan, kerohanian, kebudayaan dan sukan.

 

Menurut beliau, kerajaan juga amat menitikberatkan pendidikan dengan pembinaan beribu sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negeri termasuk di kawasan pendalaman, begitu juga dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta sehingga menjurus kepada kenaikan kadar peratusan celik huruf kepada 85 peratus.

 

Sementara itu berbagai anugerah telah disampaikan kepada penerima daripada Sektor HRD yang dibagikan kepada tiga kategori iaitu kategori Sumbangan Kepada Sumber Manusia Masyarakat, Kategori Sumbangan Kepada Organisasi dan Kategori Sumbangan Kepada Masyarakat.

 

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Asia HRD Congress 2010 Tan Sri Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir.